Sunday 8 April 2018

Wan Saiful Wan Jan di Titiwangsa

Warga Titiwangsa mungkin tak berapa kenal siapa itu Wan Saiful Wan Jan. Tetapi sejak beberapa minggu kebelakangan ini beliau sering menyebut tentang Titiwangsa atau lebih spesifik menyebut nama Johari Ghani, Ahli Parlimen Titiwangsa sekarang.

Wan Saiful adalah bekas CEO dan pengasas sebuah badan pemikir (think tank) iaitu IDEAS yang merupakan sebuah think tank berideologikan Libertarian. Ideologi Libertarian ini percaya kepada kebebasan individu, keadilan, pasaran bebas dan kerajaan yang kecil.



Bulan lepas Wan Saiful meletakkan jawatan beliau sebagai CEO IDEAS dan mengumumkan masuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) parti serpihan UMNO yang ditubuhkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. 

Sejurus mengumumkan keahlian beliau, Wan Saiful dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Biro Dasar dan Strategi PPBM.

Terdapat ura-ura bahawa Wan Saiful akan diletakkan di Parlimen Titiwangsa untuk bertanding di dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) yang akan datang.

Jadi tidak hairanlah sejak kebelakangan ini beliau semakin galak menyerang Johari Ghani melalui kenyataan akhbar di dalam media sosial.


Kami menyangka apabila ada orang yang inteleknya nampak tinggi seperti Wan Saiful masuk ke dalam parti pembangkang, bolehlah menambah nilai perdebatan politik berdasarkan ilmiah dan memberi manfaat kepada rakyat tetapi rupa-rupanya tidak ada bezanya Wan Saiful dengan ahli-ahli politik pembangkang yang lain.

Serangan membuta tuli tanpa fakta yang kukuh kini juga menjadi permainan Wan Saiful walaupun hanya baru berusia setahun jagung dalam politik.

Baru-baru ini Wan Saiful mengeluarkan kenyataan media menyerang Kerajaan berkenaan isu pemotongan bajet kesihatan awam. Kononnya Kerajaan Persekutuan memotong bajet kesihatan awam sehingga merisikokan kesihatan rakyat termasuk warga Titiwangsa.



Wan Saiful menuduh bahawa bajet kesihatan awam dipotong kerana Kerajaan gagal mengurus kewangan negara dengan baik dan membiarkan hutang negara naik.

Sudah terang lagi bersuluh serangan yang dibuat Wan Saiful ini sebenarnya ditujukan kepada Johari Ghani dalam usaha beliau untuk menjatuhkan kredibiliti Ahli Parlimen Titiwangsa tersebut.

Tetapi benarkah tuduhan Wan Saiful bahawa bajet kesihatan awam dipotong oleh kerajaan dan hutang kerajaan meningkat?

Menurut maklumat bajet kerajaan yang diperolehi daripada laman web Kementerian Kewangan, perbelanjaan kesihatan kerajaan sebenarnya meningkat, bukannya dipotong seperti yang didakwa Wan Saiful.


Bajet kesihatan awam yang diperuntukkan kerajaan sejak 2014 adalah berjumlah:

2014: RM22.08 billion
2015: RM23.06 billion
2016: RM22.74 billion
2017: RM24.80 billion
2016: RM26.58 billion

Ini membuktikan tuduhan Wan Saiful bahawa bajet kesihatan awam dipotong oleh kerajaan adalah tidak benar sama sekali.

Tuduhan Wan Saiful bahawa hutang negara meningkat juga adalah tidak benar. Menurut laporan oleh Bank Negara Malaysia, nisbah hutang kerajaan persekutuan sebenarnya menurun daripada 54.5% pada tahun 2015 kepada 52.7% pada tahun 2016 dan terus turun kepada 50.8%


Sebagai bekas pengasas think tank berasaskan kajian, Wan Saiful sepatutnya melakukan kajian dengan lebih mendalam sebelum membuat tuduhan melulu kepada kerajaan dan Johari Ghani.

Daripada mengamalkan politik murahan menuduh yang bukan-bukan, Wan Saiful sepatutnya mengemukakan idea bagaimana untuk meningkatkan kesedaran terhadap rakyat Malaysia berkenaan bahaya pengambilan gula berlebihan dan kepentingan mengamalkan gaya hidup yang sihat untuk mengelakkan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes yang sedang diperjuangkan Wan Saiful.

Mungkin sebenarnya Wan Saiful tidak kisah pun tentang fakta kewangan negara, bajet kesihatan ataupun penghidap penyakit diabetes. Nampaknya objektif utama beliau hanyalah untuk menyerang Johari Ghani.

Ini nasihat kami kepada Wan Saiful, politik bukan semata-mata menyerang pihak lawan. Politik yang utamanya adalah berkhidmat kepada rakyat. Mungkin kamu terlalu selesa kerana sudah terlalu lama berada di kerusi empuk think tank jadi kamu tidak faham permasalahan rakyat dan masyarakat setempat terutamanya warga Titiwangsa.

Sekali sekala turunlah padang dengar dan selami keluhan dan rintihan rakyat.

Contohilah Johari Ghani yang berjumpa terus dengan warga Titiwangsa setiap minggu tanpa halangan birokrasi di Pusat Khidmat Masyarakat Titiwangsa walaupun beliau sibuk dengan tugasan rasmi sebagai Menteri Kewangan Ke-II. Pusat Khidmat ini dikunjungi oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira umur, kaum dan agama.





Warga Titiwangsa tidak perlu wakil rakyat yang hanya tahu mengkritik tetapi tidak berkhidmat kepada mereka dalam menyelesaikan permasalahan harian dan setempat di Titiwangsa.

Nota: Johari Ghani juga telah mengeluarkan kenyataan membalas kenyataan Wan Saiful dua hari lepas. Anda boleh baca di sini: Wan Saiful Jangan Hanya Jadi Hero Waktu Pilihanraya

No comments:

Post a Comment